15 Lalu raja Siria akan mengepung sebuah kota yang berkubu dan mengalahkannya. Tentera Mesir tidak dapat berperang lagi, bahkan askarnya yang terkuat akan kehabisan tenaga.
16 Penguasa Siria akan memperlakukan mereka dengan sesuka hati tanpa tentangan. Dia akan menduduki tanah yang permai dan menguasai seluruhnya.
17 Raja Siria akan menggerakkan kesemua pasukan tenteranya untuk menyerang musuh. Untuk menguasai kerajaan musuhnya, raja itu akan membuat persetujuan dengan musuhnya itu dan mengahwinkan puterinya dengan musuh, tetapi rancangan itu tidak akan berjaya.
18 Selepas itu raja Siria akan menyerang bangsa-bangsa yang tinggal di tepi laut, dan menakluki banyak bangsa. Tetapi seorang pemimpin bangsa asing akan mengalahkan raja Siria dan akan menghentikan hinaan yang dilakukannya, lalu membalas hinaan itu kepadanya.
19 Raja Siria akan pulang ke kubu-kubu negerinya sendiri tetapi dia akan dikalahkan, dan demikianlah kesudahannya.
20 Dia akan digantikan oleh seorang raja lain. Raja itu akan mengutus seorang pegawai untuk memaksa rakyat membayar cukai dengan tujuan menambah kekayaan kerajaannya. Dalam masa singkat raja itu akan dibunuh, tetapi bukan secara terang-terang dan bukan dalam peperangan.”
21 Malaikat itu melanjutkan penerangannya, “Raja Siria yang berikut adalah orang yang jahat. Dia tidak berhak menjadi raja, tetapi dia akan datang dengan tiba-tiba dan merampas kuasa dengan tipu daya.