26 Para penasihat raja Mesir yang paling rapat dengannya akan menjatuhkan dia. Banyak askarnya akan terbunuh dan tenteranya dihapuskan.
27 Kemudian dua orang raja itu akan duduk dan makan bersama-sama pada satu meja, tetapi niat mereka jahat. Mereka akan menipu satu sama lain, tetapi mereka tidak akan berjaya kerana masa mereka belum sampai.
28 Raja Siria akan pulang dengan segala barang jarahannya. Dia bertekad untuk memusnahkan agama umat Allah. Dia akan berbuat sesuka hatinya, lalu pulang ke negerinya.
29 Tidak lama kemudian, raja Siria akan menyerang Mesir lagi, tetapi kali ini akibatnya lain daripada kali yang pertama.
30 Orang Roma akan datang dengan kapal-kapal laut dan memerangi raja Siria, dan raja akan menjadi takut.Kemudian raja Siria akan pulang dengan murka sekali, lalu berusaha menghancurkan agama umat Allah. Raja Siria akan mengikut nasihat orang yang telah meninggalkan agama itu.
31 Beberapa orang askar raja akan menajiskan Rumah TUHAN. Mereka akan menghentikan korban harian, dan mendirikan ‘Bencana Yang Dahsyat’ itu.
32 Dengan tipu daya raja akan berjaya mendapat sokongan orang yang telah meninggalkan agama itu, tetapi pengikut-pengikut Allah akan melawannya.