3 Kemudian seorang raja yang perkasa akan muncul. Dia akan memerintah sebuah kerajaan yang besar dan berbuat sesuka hatinya.
4 Tetapi pada kemuncak kekuasaannya, kerajaannya akan pecah dan terbahagi empat. Raja-raja yang bukan keturunannya akan menggantikan dia sebagai raja, tetapi mereka tidak sekuat dia.
5 Raja Mesir akan menjadi kuat. Tetapi salah seorang panglimanya akan menjadi lebih kuat, dan akan memerintah kerajaan yang lebih besar.
6 Selepas beberapa tahun, raja Mesir akan mengikat perjanjian untuk bersekutu dengan raja Siria, dan mengahwinkan puterinya dengan raja itu. Tetapi perjanjian untuk bersekutu itu tidak kekal. Puteri itu, suaminya, anaknya, dan hamba-hamba yang mengikutnya akan dibunuh semuanya.
7 Tidak berapa lama kemudian, salah seorang keluarganya akan menjadi raja. Dia akan menyerang tentera raja Siria, masuk ke dalam kubunya dan mengalahkan mereka.
8 Pada waktu dia pulang ke Mesir, dia akan membawa patung-patung dewa mereka, serta alat-alat emas dan perak yang ditahbiskan untuk dewa-dewa itu. Selama beberapa tahun dia tidak akan memerangi Siria.
9 Kemudian raja Siria akan menyerang negeri Mesir, tetapi raja itu akan dipukul mundur.