7 Tidak berapa lama kemudian, salah seorang keluarganya akan menjadi raja. Dia akan menyerang tentera raja Siria, masuk ke dalam kubunya dan mengalahkan mereka.
8 Pada waktu dia pulang ke Mesir, dia akan membawa patung-patung dewa mereka, serta alat-alat emas dan perak yang ditahbiskan untuk dewa-dewa itu. Selama beberapa tahun dia tidak akan memerangi Siria.
9 Kemudian raja Siria akan menyerang negeri Mesir, tetapi raja itu akan dipukul mundur.
10 Putera-putera raja Siria akan bersiap untuk berperang dan membentuk pasukan tentera yang besar. Salah seorang daripada mereka akan menyerbu seperti banjir dan menyerang pertahanan musuh.
11 Raja Mesir akan menjadi sangat murka, lalu berperang dengan raja Siria dan mengalahkan pasukan tenteranya yang besar itu.
12 Raja Mesir akan berasa bangga kerana kemenangannya, dan kerana banyak askar yang telah dibunuhnya, tetapi dia tidak akan terus menang.
13 Raja Siria akan pulang dan membentuk pasukan tentera yang lebih besar daripada yang pertama. Apabila masanya tiba, dia akan kembali dengan pasukan yang besar dan yang bersenjata lengkap.