23 Aku memuji dan menghormati Engkau, ya Allah nenek moyangku.Engkau telah memberi aku kebijaksanaan dan kekuatan;Engkau telah mengabulkan doaku,dan memberi kami jawapan bagi raja.”
24 Kemudian Daniel pergi kepada Ariokh, orang yang ditugaskan untuk membunuh para penasihat raja. Daniel berkata kepadanya, “Janganlah bunuh para penasihat itu. Bawalah saya menghadap raja dan saya akan mentafsirkan mimpi raja.”
25 Dengan segera, Ariokh membawa Daniel menghadap Raja Nebukadnezar. Dia berkata kepada raja, “Hamba telah menjumpai seorang Yahudi dalam buangan, yang dapat mentafsirkan mimpi tuanku.”
26 Kemudian raja bertanya kepada Daniel yang juga disebut Beltsazar, “Dapatkah kamu memberitahu beta mimpi beta dan mentafsirkannya?”
27 Daniel menjawab, “Tiada orang berilmu, ahli sihir, penilik atau ahli nujum yang dapat melakukan hal itu.
28 Tetapi Allah penguasa di syurga, menyatakan segala rahsia; Dia telah memberitahu tuanku hal masa depan. Oleh itu perkenanlah hamba menceritakan mimpi tuanku, iaitu penglihatan yang tuanku nampak ketika tuanku beradu.
29 Ketika tuanku beradu, tuanku bermimpi tentang perkara masa depan, dan Allah yang menyatakan segala rahsia telah memperlihatkan perkara yang akan berlaku itu kepada tuanku.