6 Beta memerintahkan semua penasihat di Babel supaya datang menghadap dan mentafsirkan mimpi beta itu.
7 Semua penilik, ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum dibawa menghadap. Beta menceritakan mimpi beta, tetapi mereka tidak dapat mentafsirkannya.
8 Kemudian Daniel datang menghadap beta. Dia juga dinamakan Beltsazar, menurut nama dewa beta. Daniel memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci, maka beta menceritakan mimpi beta kepadanya. Beta bertitah:
9 Hai Beltsazar, ketua orang berilmu, beta tahu bahawa roh dewa-dewa yang suci ada padamu, dan kamu faham segala rahsia yang dalam. Inilah mimpi beta. Berikanlah tafsirannya.
10 Ketika beta beradu, beta nampak sebatang pokok yang besar di tengah-tengah bumi.
11 Pokok itu bertambah besar dan kuat sehingga puncaknya sampai ke langit dan dapat dilihat oleh setiap orang di dunia.
12 Daun-daunnya segar dan buahnya lebat sekali - cukup untuk dimakan orang di seluruh dunia. Binatang buas berteduh di bawahnya; burung membuat sarang di dahannya, dan semua makhluk hidup makan buah-buahnya.