7 Raja berteriak memanggil para ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum. Apabila mereka menghadap, raja bertitah kepada mereka, “Sesiapa yang dapat membaca tulisan itu serta mentafsirkannya akan diberikan pakaian diraja, iaitu jubah ungu dan kalung emas tanda kebesaran. Orang itu akan dilantik menjadi penguasa ketiga dalam kerajaan ini.”
8 Para penasihat raja melangkah ke depan, tetapi tidak seorang pun dapat membaca tulisan itu ataupun menjelaskan maknanya.
9 Oleh sebab ketakutan, muka Raja Belsyazar bertambah pucat, dan para pembesarnya tidak tahu apa yang harus dilakukan.
10 Bonda raja mendengar bunyi riuh yang disebabkan oleh raja dan para jemputannya. Baginda masuk ke dalam dewan jamuan itu dan bertitah, “Daulat tuanku! Janganlah khuatir sehingga tuanku pucat.
11 Ada seorang dalam kerajaan tuanku yang memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci. Pada masa pemerintahan ayahanda tuanku, orang itu telah membuktikan kecerdasan, pengetahuan, dan kebijaksanaan yang seperti kebijaksanaan para dewa. Ayahanda tuanku, Raja Nebukadnezar, melantik dia menjadi ketua semua penilik, ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum.
12 Dia mempunyai kebolehan yang luar biasa. Dia bijak dan pandai mentafsirkan mimpi, menjawab teka-teki, serta menyatakan rahsia. Nama orang itu Daniel, tetapi raja menamakan dia Beltsazar. Panggillah dia. Dia akan mentafsirkan tulisan itu bagi tuanku.”
13 Dengan segera Daniel dibawa menghadap raja. Raja bertanya kepadanya, “Kamukah Daniel, orang Yahudi buangan yang dibawa dari Yehuda ke sini oleh raja, ayahanda beta?