16 Engkau telah membela kami pada masa dahulu. Oleh itu janganlah murka lagi terhadap Yerusalem. Kota ini kota-Mu, bukit-Mu yang suci. Semua orang dari negeri-negeri jiran menghina Yerusalem dan umat-Mu, kerana dosa kami dan kejahatan yang dilakukan nenek moyang kami.
17 Dengarlah doa dan permohonanku, ya Allah. Pulihkanlah Rumah-Mu yang telah dimusnahkan itu agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Tuhan.
18 Dengarkanlah kami, ya Allah; pandanglah kami, dan lihatlah kesusahan kami. Lihatlah penderitaan kota yang disebut dengan nama-Mu. Kami berdoa kepada-Mu kerana Engkau penuh belas kasihan dan bukan kerana jasa kami.
19 Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan ampunilah kami. Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan bertindaklah! Janganlah berlengah-lengah agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Allah! Kota dan umat ini milik-Mu.”
20 Aku terus berdoa, dan mengaku dosaku serta dosa bangsaku Israel. Aku juga memohon kepada TUHAN, Allahku untuk memulihkan Rumah-Nya yang suci.
21 Semasa aku berdoa, Gabriel yang aku nampak dalam penglihatanku yang dahulu itu, terbang ke arahku. Masa itu waktu yang ditetapkan untuk mempersembahkan korban petang.
22 Gabriel menerangkan, “Hai Daniel, aku datang untuk menolong engkau memahami nubuat itu.