17 Dengarlah doa dan permohonanku, ya Allah. Pulihkanlah Rumah-Mu yang telah dimusnahkan itu agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Tuhan.
18 Dengarkanlah kami, ya Allah; pandanglah kami, dan lihatlah kesusahan kami. Lihatlah penderitaan kota yang disebut dengan nama-Mu. Kami berdoa kepada-Mu kerana Engkau penuh belas kasihan dan bukan kerana jasa kami.
19 Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan ampunilah kami. Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan bertindaklah! Janganlah berlengah-lengah agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Allah! Kota dan umat ini milik-Mu.”
20 Aku terus berdoa, dan mengaku dosaku serta dosa bangsaku Israel. Aku juga memohon kepada TUHAN, Allahku untuk memulihkan Rumah-Nya yang suci.
21 Semasa aku berdoa, Gabriel yang aku nampak dalam penglihatanku yang dahulu itu, terbang ke arahku. Masa itu waktu yang ditetapkan untuk mempersembahkan korban petang.
22 Gabriel menerangkan, “Hai Daniel, aku datang untuk menolong engkau memahami nubuat itu.
23 Apabila engkau mula memohon kepada Allah, Dia menjawab permohonanmu. Aku datang menyampaikan jawapan itu kerana Dia sangat mengasihi engkau. Oleh itu dengarlah baik-baik sementara aku menerangkan makna penglihatan itu.