Daniel 9:19-25 BMDC

19 Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan ampunilah kami. Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan bertindaklah! Janganlah berlengah-lengah agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Allah! Kota dan umat ini milik-Mu.”

20 Aku terus berdoa, dan mengaku dosaku serta dosa bangsaku Israel. Aku juga memohon kepada TUHAN, Allahku untuk memulihkan Rumah-Nya yang suci.

21 Semasa aku berdoa, Gabriel yang aku nampak dalam penglihatanku yang dahulu itu, terbang ke arahku. Masa itu waktu yang ditetapkan untuk mempersembahkan korban petang.

22 Gabriel menerangkan, “Hai Daniel, aku datang untuk menolong engkau memahami nubuat itu.

23 Apabila engkau mula memohon kepada Allah, Dia menjawab permohonanmu. Aku datang menyampaikan jawapan itu kerana Dia sangat mengasihi engkau. Oleh itu dengarlah baik-baik sementara aku menerangkan makna penglihatan itu.

24 Tujuh kali tujuh puluh tahun ialah jangka masa yang telah ditentukan Allah untuk membebaskan bangsamu dan kotamu yang suci itu daripada dosa dan kejahatan. Dosa akan diampunkan dan keadilan yang kekal akan ditegakkan, agar penglihatan dan nubuat itu menjadi kenyataan, dan agar Rumah TUHAN yang suci ditahbiskan semula.

25 Perhatikanlah dan fahamilah hal ini: Dari saat perintah dikeluarkan untuk membina semula Yerusalem, hingga kedatangan pemimpin yang dipilih oleh Allah, jangka masanya ialah tujuh kali tujuh tahun. Yerusalem akan dibina semula dengan jalan-jalan raya dan pertahanan yang kuat, dan akan bertahan selama tujuh kali enam puluh dua tahun, tetapi masa itu penuh kesusahan.