1 Sambil menangis Ezra bersujud untuk berdoa dan mengaku dosa di hadapan Rumah TUHAN. Sementara itu banyak orang Israel - lelaki, perempuan, dan kanak-kanak - datang berkumpul di sekelilingnya; mereka juga menangis tersedu-sedu.
2 Kemudian Sekhanya anak Yehiel, seorang daripada puak Elam, berkata kepada Ezra, “Kami telah berdosa terhadap TUHAN kerana berkahwin dengan perempuan asing. Walaupun demikian, masih ada harapan bagi Israel.
3 Marilah kita bersumpah kepada Allah bahawa kita akan mengusir semua perempuan itu dan anak-anak mereka. Kami akan menurut nasihat tuan dan nasihat orang yang menjunjung perintah Allah. Kami akan taat kepada Taurat Allah.
4 Bertindaklah kerana itulah tanggungjawab tuan. Kami akan menyokong tuan dengan sepenuhnya. Bertindaklah dengan tegas sehingga perkara itu selesai.”