2 Kemudian Sekhanya anak Yehiel, seorang daripada puak Elam, berkata kepada Ezra, “Kami telah berdosa terhadap TUHAN kerana berkahwin dengan perempuan asing. Walaupun demikian, masih ada harapan bagi Israel.
3 Marilah kita bersumpah kepada Allah bahawa kita akan mengusir semua perempuan itu dan anak-anak mereka. Kami akan menurut nasihat tuan dan nasihat orang yang menjunjung perintah Allah. Kami akan taat kepada Taurat Allah.
4 Bertindaklah kerana itulah tanggungjawab tuan. Kami akan menyokong tuan dengan sepenuhnya. Bertindaklah dengan tegas sehingga perkara itu selesai.”
5 Oleh itu Ezra mulai bertindak dengan menyuruh para pemimpin imam, orang Lewi dan umat Israel yang lain bersumpah bahawa mereka akan melakukan cadangan Sekhanya.
6 Setelah mereka bersumpah, Ezra pergi dari bahagian depan Rumah TUHAN ke tempat tinggal Yohanan anak Elyasib. Ezra bermalam di situ dan bersedih hati kerana memikirkan ketidaksetiaan orang dari pembuangan itu. Dia tidak makan atau minum apa-apa pun.
7 Kemudian diumumkan di seluruh Yerusalem dan Yehuda bahawa semua orang yang telah pulang dari pembuangan, harus hadir pada suatu perjumpaan di Yerusalem.
8 Itulah perintah para pemimpin rakyat. Sesiapa yang tidak hadir dalam masa tiga hari, segala harta miliknya akan dirampas, dan dia tidak lagi dianggap sebagai anggota masyarakat Israel.