4 Bertindaklah kerana itulah tanggungjawab tuan. Kami akan menyokong tuan dengan sepenuhnya. Bertindaklah dengan tegas sehingga perkara itu selesai.”
5 Oleh itu Ezra mulai bertindak dengan menyuruh para pemimpin imam, orang Lewi dan umat Israel yang lain bersumpah bahawa mereka akan melakukan cadangan Sekhanya.
6 Setelah mereka bersumpah, Ezra pergi dari bahagian depan Rumah TUHAN ke tempat tinggal Yohanan anak Elyasib. Ezra bermalam di situ dan bersedih hati kerana memikirkan ketidaksetiaan orang dari pembuangan itu. Dia tidak makan atau minum apa-apa pun.
7 Kemudian diumumkan di seluruh Yerusalem dan Yehuda bahawa semua orang yang telah pulang dari pembuangan, harus hadir pada suatu perjumpaan di Yerusalem.
8 Itulah perintah para pemimpin rakyat. Sesiapa yang tidak hadir dalam masa tiga hari, segala harta miliknya akan dirampas, dan dia tidak lagi dianggap sebagai anggota masyarakat Israel.
9 Dalam masa tiga hari, iaitu pada hari kedua puluh bulan sembilan, semua orang lelaki yang tinggal di kawasan Yehuda dan Benyamin datang ke Yerusalem dan berkumpul di halaman Rumah TUHAN. Pada hari itu, hujan turun dengan lebat. Semua orang menggigil kerana kesejukan dan juga kerana mustahaknya pertemuan itu.
10 Kemudian Imam Ezra berdiri dan berkata kepada umat itu, “Kamu telah berdosa dan menambah kesalahan Israel kerana berkahwin dengan perempuan asing.