Ezra 10:8-14 BMDC

8 Itulah perintah para pemimpin rakyat. Sesiapa yang tidak hadir dalam masa tiga hari, segala harta miliknya akan dirampas, dan dia tidak lagi dianggap sebagai anggota masyarakat Israel.

9 Dalam masa tiga hari, iaitu pada hari kedua puluh bulan sembilan, semua orang lelaki yang tinggal di kawasan Yehuda dan Benyamin datang ke Yerusalem dan berkumpul di halaman Rumah TUHAN. Pada hari itu, hujan turun dengan lebat. Semua orang menggigil kerana kesejukan dan juga kerana mustahaknya pertemuan itu.

10 Kemudian Imam Ezra berdiri dan berkata kepada umat itu, “Kamu telah berdosa dan menambah kesalahan Israel kerana berkahwin dengan perempuan asing.

11 Oleh sebab itu, akuilah dosa kamu di hadapan TUHAN, Allah nenek moyang kamu dan lakukanlah apa yang diperkenankan-Nya. Jauhkanlah diri kamu daripada orang asing yang tinggal di negeri kita, dan usirlah semua isteri kamu yang berbangsa asing.”

12 Semua orang itu menjawab dengan lantang, “Kami akan melakukan apa sahaja kata tuan.”

13 Tetapi kata mereka lagi, “Perhimpunan ini terlalu besar, lagipun hujan lebat. Kami tidak tahan berdiri di tempat yang terbuka ini. Lagi pula, hal ini bukan perkara yang dapat diselesaikan dalam masa satu atau dua hari, oleh sebab banyak sekali di kalangan kami yang terlibat dalam dosa ini.

14 Benarkanlah para pemimpin kami tinggal di Yerusalem untuk menguruskan hal ini. Kemudian tiap-tiap orang yang mempunyai isteri berbangsa asing harus datang ke situ pada waktu yang ditetapkan, dan menghadap bersama dengan para pemimpin dan hakim kota masing-masing. Dengan cara itu Allah tidak akan murka lagi kepada kita kerana perkara itu.”