3 Pada masa itu juga, Gabenor Tatnai, dari Efrat Barat, Syetar-Boznai serta rakan-rakan mereka datang ke Yerusalem. Mereka bertanya kepada orang Yahudi, “Siapakah yang memerintah kamu membina dan melengkapi Rumah Ibadat ini?”
4 Mereka juga meminta nama-nama orang yang menolong membina Rumah itu.
5 Tetapi Allah memperhatikan dan melindungi para pemimpin orang Yahudi itu, sehingga para pegawai kerajaan Persia membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan sebelum mereka mengirim surat kepada Raja Darius dan menerima balasan daripada baginda.
6 Inilah laporan yang dikirim mereka kepada raja,
7 “Kepada Raja Darius. Semoga tuanku memerintah dengan aman damai.
8 Ingin kami maklumkan kepada tuanku bahawa kami telah pergi ke Yehuda dan mendapati bahawa Rumah Ibadat untuk Allah yang Besar, sedang dibina semula dengan batu-batu besar dan tembok yang dilapisi kayu. Pekerjaan itu dilakukan dengan sangat teliti dan berjalan dengan lancar.
9 Kemudian kami bertanya kepada para pemimpin bangsa itu, siapa yang telah memberi mereka kebenaran untuk membina semula Rumah Ibadat serta melengkapinya.