8 Kuda orang Babilonia lebih pantas daripada harimau bintang dan lebih ganas daripada serigala yang lapar. Pasukan askar berkuda Babilonia datang dari negeri-negeri jauh; kuda mereka menderap. Pasukan askar berkuda datang menyerang seperti burung helang menyambar mangsa.
9 Tentera Babilonia mara dan menyerang dengan ganas; setiap orang ketakutan apabila mereka datang. Tawanan perang mereka sebanyak butir pasir.
10 Orang Babilonia menghina raja-raja dan mentertawakan para pembesar kerajaan. Tidak ada kubu yang dapat menghalang mereka. Mereka menambak tanah pada tembok kubu, lalu merebutnya.
11 Kemudian mereka bergegas pergi seperti tiupan angin. Mereka bersalah kerana mendewakan kekuatan sendiri.”
12 Ya TUHAN, Engkau Allah sejak dahulu. Engkau Allahku yang suci dan kekal. Ya TUHAN, Allahku dan pelindungku, Engkau telah memilih orang Babilonia; Engkau menguatkan mereka supaya dapat menghukum kami.
13 Tetapi bagaimana Engkau tahan melihat orang yang khianat dan jahat seperti mereka? Engkau terlalu suci untuk memandang kejahatan; Engkau tidak dapat tahan sabar dengan orang yang berbuat salah. Tetapi mengapa Engkau berdiam diri apabila orang Babilonia membinasakan orang yang tidak sejahat mereka?
14 Mana boleh Engkau memperlakukan manusia seperti ikan atau seperti sekawanan serangga yang tidak mempunyai pemimpin?