1 Aku akan naik ke menara pengawal, lalu menunggu apa yang akan difirmankan TUHAN kepadaku dan apa jawapan-Nya bagi sungutanku.
2 TUHAN menjawab aku, “Tulislah dengan jelas apa yang Kunyatakan kepadamu, supaya dapat dibaca dengan mudah. Tulislah semuanya pada batu tulis daripada tanah liat.
3 Tulislah perkhabaran itu kerana belum sampai masanya untuk berlaku. Tetapi masa itu akan segera tiba dan apa yang Aku nyatakan kepadamu ini akan pasti berlaku. Walaupun nampaknya masa itu lambat datang, tetapi tunggu saja; hal itu akan pasti berlaku dan tidak akan ditangguhkan.
4 Inilah perkhabaran itu: ‘Orang yang melakukan kejahatan akan binasa, tetapi orang yang melakukan kehendak Allah akan hidup kerana mereka setia kepada Allah.’ ”
5 Kekayaan menipu orang. Orang yang tamak itu angkuh dan gelisah. Seperti maut, mereka juga tidak pernah puas. Itulah sebabnya mereka menaklukkan bangsa demi bangsa.
6 Penakluk akan dicemuh dan dihina oleh orang yang ditakluk. Mereka akan berkata, “Malanglah kamu kerana mengambil barang yang bukan milik kamu! Berapa lama lagi kamu memperkaya diri dengan memaksa orang yang berhutang kepada kamu untuk membayar hutang?”