4 Inilah perkhabaran itu: ‘Orang yang melakukan kejahatan akan binasa, tetapi orang yang melakukan kehendak Allah akan hidup kerana mereka setia kepada Allah.’ ”
5 Kekayaan menipu orang. Orang yang tamak itu angkuh dan gelisah. Seperti maut, mereka juga tidak pernah puas. Itulah sebabnya mereka menaklukkan bangsa demi bangsa.
6 Penakluk akan dicemuh dan dihina oleh orang yang ditakluk. Mereka akan berkata, “Malanglah kamu kerana mengambil barang yang bukan milik kamu! Berapa lama lagi kamu memperkaya diri dengan memaksa orang yang berhutang kepada kamu untuk membayar hutang?”
7 Tetapi tanpa kamu sedari, kamu yang telah menaklukkan orang lain akan berhutang juga dan dipaksa untuk membayar faedah. Musuh akan datang dan menyebabkan kamu gementar ketakutan. Mereka akan merampas harta kamu!
8 Kamu telah merampas harta banyak bangsa. Tetapi kini bangsa-bangsa yang terselamat akan merampas harta kamu kerana pembunuhan yang telah kamu lakukan dan kerana kekejaman kamu terhadap penduduk dunia serta kota-kota di dunia.
9 Malang menimpa kamu! Kamu memperkaya keluarga kamu dengan apa yang kamu peroleh dengan keganasan. Kamu telah membina rumah yang selamat untuk melindungi keluarga kamu daripada malapetaka.
10 Tetapi rancangan kamu itu mempermalukan keluarga kamu; dengan memusnahkan banyak bangsa, kamu mendatangkan kehancuran diri sendiri.