10 Pada hari kedua puluh empat bulan kesembilan dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius, TUHAN berfirman lagi kepada Nabi Hagai.
11 TUHAN berfirman, “Mintalah keputusan para imam tentang persoalan ini:
12 Seandainya ada orang yang mengambil sepotong daging daripada korban yang dipersembahkan kepada TUHAN, lalu membawanya pulang di dalam lipatan jubahnya, kemudian jubahnya itu tersentuh roti atau sesuatu masakan, atau wain, atau minyak zaitun, atau makanan apa sahaja, adakah semua itu menjadi suci juga?”Ketika Hagai mengemukakan pertanyaan itu, para imam menjawab, “Tidak.”
13 Kemudian Hagai bertanya lagi, “Seandainya ada orang yang menjadi najis kerana dia menyentuh mayat, kemudian dia menyentuh salah satu daripada makanan itu, adakah makanan itu menjadi najis pula?”Para imam menjawab, “Ya.”
14 Kemudian Hagai berkata, “TUHAN berfirman bahawa peraturan itu berlaku juga kepada umat Israel di negeri ini dan pada segala sesuatu yang dihasilkan oleh mereka. Oleh itu, apa yang dipersembahkan mereka di atas mazbah ini, menjadi najis.”
15 TUHAN berfirman, “Perhatikanlah apa yang telah berlaku sebelum hari ini, pada masa Rumah-Ku belum diperbaiki! Bagaimanakah keadaan kamu pada masa itu?
16 Kamu pergi melihat timbunan gandum dan menyangka akan mendapat 200 kilogram gandum, tetapi ternyata ada 100 kilogram sahaja. Kamu telah pergi mencedok 100 liter wain dari tong wain, tetapi yang ada hanya 40 liter.