17 Kemudian suku Yehuda bersama dengan suku Simeon pergi menyerang dan mengalahkan orang Kanaan yang tinggal di kota Zefat. Mereka mengutuk kota itu dan memusnahkannya, lalu menamakannya Horma.
18-19 TUHAN menolong suku Yehuda sehingga mereka berjaya menduduki kawasan perbukitan. Tetapi mereka tidak berjaya merebut kota Gaza, Askelon, dan Ekron, serta kawasan di sekitar semua kota itu. Suku Yehuda tidak berjaya mengusir penduduk yang tinggal di sepanjang pantai itu, kerana penduduk di sana mempunyai kereta kuda yang dibuat daripada besi.
20 Sebagaimana yang diperintahkan Musa, Hebron diberikan kepada Kaleb, kerana dahulu tiga puak keturunan Enak telah diusir oleh Kaleb dari kota itu.
21 Tetapi suku Benyamin tidak berjaya mengusir orang Yebusi dari Yerusalem. Itulah sebabnya orang Yebusi masih tinggal di sana bersama-sama orang Benyamin.
22-23 Suku Efraim dan suku Manasye menyerang kota Betel, yang ketika itu bernama Lus. TUHAN menolong mereka. Pengintip-pengintip yang diutus ke kota itu,
24 berjumpa dengan seorang lelaki yang datang dari kota itu. Mereka berkata kepadanya, “Tolong tunjukkan jalan masuk ke kota ini, dan kami akan memperlakukan kamu dengan baik.”
25 Lelaki itu menunjukkan jalan masuk ke kota itu kepada mereka. Kemudian orang daripada suku Efraim dan suku Manasye memasuki kota itu dan membunuh semua penduduknya, kecuali lelaki itu dan keluarganya.