21 Tetapi TUHAN, Allah Israel menyerahkan Raja Sihon dan angkatan tenteranya ke tangan orang Israel. Demikianlah umat Israel memiliki semua tanah orang Amori yang tinggal di negeri itu.
22 Mereka menduduki seluruh wilayah orang Amori, bermula dari Arnon di sebelah selatan sampai ke Yabok di sebelah utara, dan dari padang gurun di sebelah timur sampai ke Sungai Yordan di sebelah barat.
23 Maka TUHAN, Allah Israel itulah yang mengusir orang Amori bagi umat-Nya, orang Israel.
24 Adakah tuanku hendak merebutnya kembali? Ambillah apa yang telah diberikan oleh Kamos, dewa tuanku. Tetapi hamba sekalian akan mempertahankan segala yang telah diberikan TUHAN, Allah hamba sekalian kepada hamba sekalian.
25 Adakah tuanku berpendapat bahawa tuanku lebih baik daripada Raja Balak anak Zipor, penguasa Moab? Raja Balak sendiri tidak pernah berperang dengan Israel, ataupun mencabar Israel!
26 Israel telah menduduki Hesybon, Aroer, dan pekan-pekan di sekelilingnya, serta semua kota di pinggir Sungai Arnon selama tiga ratus tahun. Mengapakah tuanku tidak merebutnya selama itu?
27 Hamba tidak bersalah terhadap tuanku. Tuankulah yang bersalah kerana memerangi hamba. TUHAN sendirilah yang menjadi hakim. Dia akan mengadili perkara ini antara umat Israel dan orang Amon.”