25 Adakah tuanku berpendapat bahawa tuanku lebih baik daripada Raja Balak anak Zipor, penguasa Moab? Raja Balak sendiri tidak pernah berperang dengan Israel, ataupun mencabar Israel!
26 Israel telah menduduki Hesybon, Aroer, dan pekan-pekan di sekelilingnya, serta semua kota di pinggir Sungai Arnon selama tiga ratus tahun. Mengapakah tuanku tidak merebutnya selama itu?
27 Hamba tidak bersalah terhadap tuanku. Tuankulah yang bersalah kerana memerangi hamba. TUHAN sendirilah yang menjadi hakim. Dia akan mengadili perkara ini antara umat Israel dan orang Amon.”
28 Tetapi raja Amon tidak menghiraukan berita yang dikirim oleh Yefta itu.
29 Pada saat itu Roh TUHAN menguasai Yefta. Kemudian Yefta menjelajah seluruh Gilead dan Manasye, lalu kembali ke Mizpa di Gilead. Dari sana dia pergi ke Amon.
30 Yefta berjanji kepada TUHAN, katanya, “Jika TUHAN membenarkan aku mengalahkan orang Amon,
31 aku akan mempersembahkan orang yang pertama-tama keluar dari rumahku untuk menyambut aku, sekembalinya aku dari peperangan. Aku akan mempersembahkan orang itu kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.”