Hakim-Hakim 12:1-7 BMDC

1 Pada masa itu, suku Efraim bersedia untuk berperang. Mereka menyeberangi Sungai Yordan dan menuju ke Zafon. Mereka berkata kepada Yefta, “Mengapa kamu berperang dengan orang Amon tanpa mengajak kami? Sekarang kami akan membakar kamu bersama-sama seisi rumahmu!”

2 Yefta berkata, “Aku dan rakyatku bersengketa dengan orang Amon. Aku memanggil kamu, tetapi kamu tidak datang untuk membantu aku membebaskan diri daripada orang Amon.

3 Apabila aku melihat bahawa kamu tidak mahu menolong, aku mempertaruhkan nyawaku. Aku pergi menyerang mereka, lalu TUHAN memberi aku kemenangan atas mereka. Mengapakah sekarang kamu hendak menyerang aku?”

4 Kemudian Yefta mengumpulkan semua orang Gilead, lalu memerangi suku Efraim dan mengalahkan mereka. (Suku Efraim mengatakan bahawa orang Gilead yang tinggal di wilayah Efraim dan Manasye telah memisahkan diri daripada Efraim, suku mereka.)

5 Orang Gilead merebut tempat-tempat penyeberangan Sungai Yordan, supaya suku Efraim tidak dapat menyeberanginya. Apabila seorang Efraim cuba melarikan diri dengan menyeberangi sungai itu, orang Gilead bertanya kepadanya, “Adakah engkau orang Efraim?” Jika dia menjawab, “Bukan,”

6 mereka menyuruh dia mengucapkan kata, “Syibolet.” Tetapi orang itu akan berkata, “Sibolet” kerana dia tidak dapat mengucapkannya dengan tepat. Kemudian mereka akan menangkap dan membunuh dia di tempat penyeberangan sungai itu. Ketika itu, sebanyak 42,000 orang Efraim terbunuh.

7 Yefta memimpin Israel selama enam tahun. Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di kampung halamannya di Gilead.