2 Simson pulang ke rumah lalu memberitahu ibu bapanya. Katanya, “Saya tertarik kepada seorang gadis Filistin. Pinanglah dia untuk saya. Saya hendak mengahwininya.”
3 Tetapi ibu bapa Simson berkata kepadanya, “Mengapa engkau harus memilih isteri di kalangan orang Filistin, sedangkan mereka tidak tergolong umat Allah? Tidak dapatkah engkau mencari seorang gadis daripada puak kita sendiri, atau di kalangan seluruh bangsa kita?”Simson menjawab bapanya, “Gadis Filistin itulah yang saya suka. Saya mahu ayah meminang dia untuk saya.”
4 Ibu bapa Simson tidak tahu bahawa TUHAN yang menyebabkan Simson melakukan hal itu, kerana TUHAN sedang mencari peluang untuk memerangi orang Filistin. Pada waktu itu orang Filistin menguasai umat Israel.
5 Maka Simson pergi ke Timna bersama dengan ibu bapanya. Apabila mereka melalui ladang anggur di situ, Simson mendengar auman seekor singa muda.
6 Tiba-tiba Simson menjadi kuat oleh kuasa TUHAN. Lalu Simson mencabik-cabikkan singa itu dengan tangannya, seolah-olah binatang itu hanya seekor anak kambing. Simson tidak memberitahu perkara itu kepada ibu bapanya.
7 Kemudian Simson menemui gadis itu dan bercakap-cakap dengannya. Simson suka kepadanya.
8 Selepas beberapa waktu, Simson kembali ke tempat itu untuk mengahwini gadis itu. Di tengah jalan, Simson menyimpang hendak melihat singa yang telah dibunuhnya itu. Ketika sampai di situ dia melihat sekawanan lebah dan juga madu di dalam bangkai singa itu.