14 Kemudian lima orang yang telah mengintip negeri di sekitar Lais berkata kepada sahabat-sahabat mereka, “Tahukah kamu bahawa di dalam salah satu rumah ini ada sebuah patung berhala daripada kayu yang bersalut perak? Ada juga beberapa buah patung berhala lain dan sehelai efod. Cuba fikir apa yang harus kita lakukan.”
15 Kemudian mereka masuk ke dalam rumah Mikha, tempat pemuda Lewi itu tinggal. Mereka memberikan salam kepadanya.
16 Pada waktu itu, enam ratus orang askar suku Dan, yang telah siap untuk berperang berdiri di hadapan pintu gerbang.
17 Kelima-lima orang pengintip itu terus masuk ke dalam rumah, lalu mengambil patung berhala daripada kayu yang bersalut perak itu, patung-patung berhala lain dan efod. Pemuda Lewi itu sedang berdiri dengan enam ratus orang askar itu di pintu gerbang.
18 Ketika lima orang itu masuk ke dalam rumah Mikha dan mengambil efod serta patung-patung berhala itu, pemuda Lewi itu bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu berbuat begini?”
19 Mereka menjawab, “Diamlah. Jangan bertanya apa-apa! Ikutlah kami dan jadilah imam dan penasihat kami. Bukankah lebih baik kamu menjadi imam bagi satu suku daripada menjadi imam bagi satu keluarga saja?”
20 Pemuda Lewi itu sangat suka dengan cadangan itu. Oleh itu dia mengambil efod dan patung-patung berhala itu lalu mengikut mereka.