2 Tetapi kemudian gundiknya itu marah terhadapnya, lalu dia kembali ke rumah bapanya di Betlehem. Setelah perempuan itu tinggal di sana selama empat bulan,
3 orang Lewi itu pergi menyusul gundiknya dan cuba memujuk dia kembali kepadanya. Orang Lewi itu membawa seorang hamba dan dua ekor keldai bersama-samanya. Setiba di sana, gundiknya itu membawa dia kepada bapanya. Ketika bapa perempuan itu nampak orang Lewi itu, dia menyambutnya dengan mesra,
4 lalu mendesaknya supaya jangan pulang. Orang Lewi itu tinggal di situ selama tiga hari dan makan minum serta bermalam di situ dengan gundiknya.
5 Pada pagi hari keempat, mereka bangun pagi-pagi hendak berangkat. Tetapi bapa perempuan itu berkata kepada orang Lewi itu, “Makanlah dahulu sebelum kamu pergi. Kamu akan berasa lebih bertenaga. Selepas itu bolehlah kamu berangkat.”
6 Oleh itu orang Lewi itu duduk, lalu makan dan minum bersama-sama bapa perempuan itu. Kemudian bapa perempuan itu berkata, “Tinggallah semalam lagi dan bersenang-senanglah.”
7 Orang Lewi itu bangun hendak berangkat, tetapi bapa perempuan itu mendesak supaya dia tinggal. Oleh itu orang Lewi itu tinggal semalam lagi.
8 Pada hari kelima, orang Lewi itu bangun pagi-pagi lagi hendak berangkat. Tetapi bapa perempuan itu berkata, “Makanlah dahulu. Nantilah berangkat.” Oleh itu mereka berdua makan bersama-sama dan berlambat-lambat sampai matahari mulai terbenam.