18 Ketika Sisera tiba, Yael menyambut dia dan berkata, “Tuan, masuklah ke dalam khemah saya. Tak usah takut.” Sisera masuk, lalu Yael menyembunyikan dia di belakang tirai.
19 Sisera berkata kepada Yael, “Tolong beri saya sedikit air minum. Saya haus.” Yael membuka kirbat kulitnya yang mengandungi susu, lalu memberi Sisera minum. Kemudian Yael menyembunyikan Sisera lagi.
20 Setelah itu, Sisera memberitahu Yael, “Berdirilah di pintu khemah. Sekiranya ada orang datang dan bertanya jika ada sesiapa di sini, katakanlah tidak ada.”
21 Sisera sangat letih sehingga dia tertidur lelap. Yael mengambil sebuah tukul dan sebatang pasak khemah. Kemudian dengan senyap-senyap dia menghampiri Sisera, dan dengan tukul dia memakukan pasak itu di pelipis Sisera, sehingga pasak itu tembus ke tanah. Demikianlah Yael membunuh Sisera.
22 Apabila Barak datang mencari Sisera, Yael menemui dia dan berkata, “Mari! Saya akan menunjukkan orang yang tuan cari.” Barak masuk bersama dengan Yael, lalu nampak Sisera mati terlentang di situ, dengan pasak terpaku di pelipisnya.
23 Pada hari itu, Allah memberi orang Israel kemenangan atas Raja Yabin, raja Kanaan.
24 Kemudian raja itu semakin lama semakin didesak oleh orang Israel sehingga akhirnya baginda dibinasakan oleh mereka.