4 Pada masa itu pemimpin Israel ialah seorang nabi perempuan yang bernama Debora, isteri Lapidot.
5 Biasanya Debora duduk di bawah sebatang pokok kurma, di antara Rama dan Betel, di kawasan perbukitan Efraim. Di situlah umat Israel datang untuk meminta nasihatnya.
6 Pada suatu hari, Debora menyuruh orang memanggil Barak anak Abinoam dari kota Kedes di wilayah Naftali. Debora berkata kepadanya, “TUHAN, Allah Israel telah memberikan perintah ini kepadamu, ‘Kerahlah sepuluh ribu orang daripada suku Naftali dan suku Zebulon, dan pimpinlah mereka ke Gunung Tabor.
7 Aku akan menyebabkan Sisera, panglima tentera Raja Yabin, berperang dengan engkau di Sungai Kison. Walaupun dia mempunyai kereta kuda dan tentera, Aku akan memberi engkau kemenangan.’ ”
8 Kemudian Barak menjawab, “Saya akan pergi jika puan pergi bersama-sama saya. Tetapi jika puan tidak pergi, saya pun tidak mahu pergi.”
9 Debora berkata, “Baiklah, saya akan pergi bersama-sama kamu, tetapi kamu tidak akan mendapat kehormatan daripada kemenangan itu, kerana TUHAN akan menyerahkan Sisera kepada seorang perempuan.” Kemudian Debora berangkat ke Kedes bersama-sama Barak.
10 Barak menyuruh suku Zebulon dan suku Naftali supaya pergi ke Kedes. Orang yang mengikuti Barak dan Debora ketika itu sebanyak sepuluh ribu orang.