Hakim-Hakim 7:19-25 BMDC

19 Menjelang tengah malam, Gideon dan seratus orang anak buahnya sampai di pinggir perkhemahan musuh. Pada waktu itu orang yang mengawal perkhemahan itu baru sahaja berganti berkawal. Kemudian Gideon dan pasukannya meniup trompet dan memecahkan buyung mereka.

20 Kedua-dua pasukan yang lain itu pun berbuat demikian. Mereka semua mengangkat obor dengan tangan kiri, dan trompet dengan tangan kanan, lalu berteriak, “Pedang untuk TUHAN dan untuk Gideon!”

21 Mereka semuanya tetap berdiri di tempat masing-masing di sekeliling perkhemahan itu. Kemudian seluruh angkatan tentera musuh lari sambil menjerit-jerit.

22 Sementara anak buah Gideon meniup trompet mereka, TUHAN menyebabkan pasukan musuh menyerang sesama sendiri dengan pedang. Mereka lari ke arah Zerera sampai ke Bet-Sita dan kota Abel-Mehola, dekat Tabat.

23 Kemudian orang daripada suku Naftali, Asyer, dan kedua-dua bahagian suku Manasye dipanggil, lalu mereka mengejar orang Midian.

24 Gideon mengutus orang ke seluruh perbukitan Efraim untuk menyampaikan seruan ini, “Mari turun untuk memerangi orang Midian. Pertahankanlah Sungai Yordan dan semua anak sungai sampai ke Bet-Bara. Jangan biarkan orang Midian menyeberang di sana.” Suku Efraim dikerah, lalu mereka mempertahankan Sungai Yordan dan semua anak sungai sampai ke Bet-Bara.

25 Mereka menangkap dua orang penguasa Midian, iaitu Oreb dan Zeeb. Mereka membunuh Oreb di Batu Oreb, dan membunuh Zeeb di tempat memeras anggur di Zeeb. Orang Efraim terus mengejar orang Midian, lalu membawa kepala Oreb dan Zeeb kepada Gideon di sebelah timur Sungai Yordan.