25 Jika seorang perempuan mengalami pendarahan selama beberapa hari di luar masa haidnya, atau jika pendarahannya belum berhenti sesudah masa haidnya yang biasa, dia menjadi najis selama pendarahan itu, seperti pada masa dia haid.
26 Setiap tempat tidur yang ditidurinya, atau apa sahaja yang didudukinya pada masa itu pun menjadi najis.
27 Sesiapa yang menyentuh benda itu menjadi najis dan mesti mencuci pakaiannya dan mandi; orang itu tetap najis sehingga matahari terbenam.
28 Setelah pendarahan perempuan itu berhenti, dia harus menunggu selama tujuh hari, barulah dia tahir.
29 Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor burung merpati atau dua ekor burung tekukur kepada imam di pintu Khemah TUHAN.
30 Imam itu akan mempersembahkan seekor daripada burung itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian bagi perempuan itu.
31 Demikianlah TUHAN menyuruh Musa memperingatkan umat Israel supaya memperhatikan masa mereka najis, supaya mereka tidak menajiskan Khemah TUHAN yang di tengah-tengah mereka. Jika mereka menajiskan Khemah TUHAN, mereka akan mati.