18 dia harus pergi ke mazbah tempat membakar korban untuk menyenangkan hati TUHAN, supaya menyucikan mazbah itu. Dia harus mengambil sedikit darah lembu jantan dan sedikit darah kambing, lalu menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah.
19 Kemudian dengan jarinya dia harus memercikkan darah itu ke atas mazbah sebanyak tujuh kali. Dengan cara ini dia menyucikan mazbah itu daripada kenajisan umat Israel, dan menjadikan mazbah itu suci.
20 Selepas Harun melakukan upacara penyucian bagi Bilik Maha Suci, bahagian-bahagian lain Khemah TUHAN dan mazbah, lalu kepada TUHAN dia harus mempersembahkan kambing jantan hidup yang dipilih bagi Azazel.
21 Harun harus meletakkan kedua-dua belah tangannya di atas kepala kambing itu lalu mengakui segala kejahatan, dosa, dan pemberontakan umat Israel. Dengan demikian semua dosa umat Israel dipindahkan ke atas kepala kambing itu. Kemudian kambing itu harus diusir ke padang gurun oleh seorang yang sudah diberikan tugas itu.
22 Kambing itu membawa segala dosa umat Israel jauh ke tanah tandus, yang tidak dihuni orang. Kambing itu akan dilepaskan di padang gurun.
23 Selepas itu Harun harus masuk ke dalam Khemah TUHAN, membuka pakaian imam yang dipakainya ketika dia masuk ke Bilik Maha Suci, lalu meninggalkan pakaian itu di situ.
24 Dia mesti mandi di satu tempat yang khas, kemudian memakai pakaiannya sendiri. Selepas itu dia harus keluar, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi menghapuskan dosanya sendiri dan dosa umat Israel.