1 TUHAN memerintahkan Musa
2 supaya memberikan peraturan-peraturan berikut kepada Harun dan anak-anaknya, dan kepada segenap umat Israel.
3-4 Apabila seorang Israel mempersembahkan lembu, domba, atau kambing kepada TUHAN, binatang itu harus disembelih di depan pintu Khemah TUHAN. Jika dia menyembelih binatang itu di tempat lain, dia sudah melanggar hukum. Dia sudah menumpahkan darah dan tidak boleh lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.
5 Perintah ini bermaksud bahawa mulai masa itu, orang Israel harus membawa semua binatang yang hendak dipersembahkan ke Khemah TUHAN; dahulu binatang itu biasanya disembelih di padang. Orang Israel wajib membawa binatang itu kepada imam di hadapan pintu Khemah TUHAN, dan menyembelihnya di situ sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN.
6 Imam harus menyiramkan darah binatang itu pada sisi-sisi mazbah di hadapan pintu Khemah, lalu membakar lemak binatang itu supaya baunya menyenangkan hati TUHAN.