3 Tiap-tiap orang harus menghormati ibu dan bapanya, serta merayakan hari Sabat sebagaimana yang sudah Aku perintahkan. Akulah TUHAN, Allah kamu.
4 Jangan sembah berhala. Jangan buat patung berhala daripada logam dan jangan sembahnya. Akulah TUHAN, Allah kamu.
5 Apabila kamu menyembelih binatang bagi korban untuk memohon berkat TUHAN, patuhilah peraturan yang sudah Aku berikan kepada kamu, supaya Aku menerima persembahan kamu.
6 Dagingnya harus dimakan pada hari binatang itu disembelih atau pada hari esoknya. Daging yang tertinggal pada hari ketiga mesti dibakar,
7 kerana daging itu haram. Jika sesiapa memakannya, persembahan itu tidak Aku terima.
8 Sesiapa yang memakannya bersalah, kerana dia memperlakukan apa yang sudah dipersembahkan kepada-Ku itu sebagai makanan biasa; orang itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku.
9 Apabila kamu menuai hasil tanaman, jangan tuai hasil tanaman yang tumbuh di tepi ladang. Jangan kembali ke ladang untuk menuai hasil tanaman yang tertinggal setelah dituai.