8 Patuhilah hukum-Ku, kerana Akulah TUHAN yang mengekhaskan kamu untuk Aku.”
9 TUHAN memberikan peraturan berikut, “Sesiapa mengutuk bapanya atau ibunya mesti dihukum mati. Orang itu mati kerana kesalahannya sendiri.
10 Jika seorang Israel berzina dengan isteri orang sebangsanya, orang itu dan perempuan itu mesti dihukum mati.
11 Seorang yang bersetubuh dengan salah seorang isteri bapanya, menghina bapanya; dia dan perempuan itu mesti dihukum mati. Mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri.
12 Jika seorang lelaki bersetubuh dengan menantu perempuannya, mereka berdua mesti dihukum mati. Mereka sudah melakukan perbuatan keji, dan mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri.
13 Jika seorang lelaki bersemburit dengan seorang lelaki lain, mereka melakukan perbuatan yang hina dan menjijikkan. Mereka berdua mesti dihukum mati; mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri.
14 Jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan dan dengan ibu perempuan itu juga, ketiga-tiga mereka mesti dibakar sampai mati, kerana perbuatan mereka itu keji. Perbuatan seperti itu tidak dibenarkan berlaku di kalangan kamu.