20 Kemudian imam akan mempersembahkan roti dan dua ekor anak domba itu sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN, dan persembahan ini menjadi milik para imam. Persembahan-persembahan ini suci.
21 Pada hari itu jangan lakukan pekerjaan harian, tetapi berkumpullah untuk beribadat. Keturunan kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya, di mana sahaja mereka tinggal.
22 Apabila kamu menuai gandum di ladang, jangan tuai gandum yang tumbuh di tepi ladang, dan jangan kembali ke ladang untuk menuai gandum yang tertinggal. Tinggalkan semua itu untuk orang miskin dan orang asing. TUHAN ialah Allah kamu.
23-24 Hari pertama bulan ketujuh harus dirayakan sebagai hari yang khas untuk berehat. Apabila trompet ditiup pada hari itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat.
25 Persembahkanlah persembahan makanan kepada TUHAN, dan jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu.
26-27 Hari kesepuluh bulan tujuh adalah hari untuk melakukan upacara tahunan bagi pengampunan dosa umat Israel. Pada hari itu kamu harus berpuasa dan berkumpul untuk beribadat, serta mempersembahkan persembahan makanan kepada TUHAN.
28 Jangan bekerja pada hari itu, kerana hari itu adalah hari untuk melakukan upacara pengampunan dosa, supaya kamu mendapat keampunan di hadapan TUHAN, Allah kamu.