4 Jika seseorang bersumpah dengan sembarangan untuk melakukan apa sahaja, dia bersalah sebaik sahaja dia sedar akan perbuatannya itu.
5 Apabila seseorang bersalah, dia harus mengakui dosanya.
6 Sebagai hukuman dosanya itu, orang itu mesti mempersembahkan seekor domba betina atau seekor kambing betina kepada TUHAN. Imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu.
7 Jika orang yang bersalah itu tidak mampu memberikan seekor domba atau seekor kambing untuk menebus dosanya, dia harus mempersembahkan dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati kepada TUHAN: seekor bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor lagi bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
8 Dia harus memberikan burung-burung itu kepada imam. Mula-mula imam itu harus mempersembahkan burung yang ditentukan bagi korban untuk mengampunkan dosa. Imam itu harus mematahkan leher burung itu, tetapi jangan sampai kepala burung itu terputus.
9 Kemudian sebahagian darah burung itu harus dipercikkan pada sisi mazbah. Darah selebihnya harus dituang di bahagian bawah mazbah. Korban ini adalah korban untuk mengampunkan dosa.
10 Kemudian imam itu harus mempersembahkan burung yang seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, menurut peraturan. Dengan demikian imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, supaya orang itu akan diampuni oleh TUHAN.