Imamat 8:24-30 BMDC

24 Kemudian Musa membawa anak-anak Harun ke hadapan. Lalu Musa menyapukan sedikit darah domba itu pada cuping kanan telinga mereka, pada ibu jari tangan kanan mereka, dan juga pada ibu jari kaki kanan mereka. Kemudian Musa menyiramkan darah yang selebihnya pada keempat-empat sisi mazbah.

25 Musa mengambil lemak domba itu, dan juga ekornya yang berlemak, lemak yang membungkus isi perutnya, bahagian terbaik daripada hatinya, buah pinggang serta lemaknya, dan paha kanan domba itu.

26 Selepas itu, Musa mengambil seketul roti dari sebakul roti yang tidak beragi, yang sudah ditahbiskan untuk TUHAN, dan juga seketul roti tebal yang dibuat dengan minyak, serta sekeping roti nipis, lalu meletakkan semuanya di atas lemak dan paha kanan domba jantan itu.

27 Dia meletakkan semua makanan itu di tangan Harun dan anak-anaknya, lalu mereka mempersembahkan semuanya sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN.

28 Kemudian Musa mengambil makanan itu daripada mereka dan membakarnya di atas mazbah, di atas korban untuk menyenangkan hati TUHAN, sebagai korban yang dipersembahkan semasa pentahbisan. Korban ini adalah persembahan makanan, dan baunya menyenangkan hati TUHAN.

29 Selepas itu Musa mengambil dada domba itu dan mempersembahkannya sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN. Itulah bahagian bagi Musa daripada domba jantan yang dipersembahkan untuk pentahbisan imam. Musa melakukan segala-galanya sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN.

30 Musa mengambil sedikit minyak upacara dan juga sedikit darah yang di atas mazbah, lalu merenjiskannya pada Harun dan anak-anaknya serta pakaian mereka. Dengan cara ini Musa mentahbiskan mereka serta pakaian mereka bagi TUHAN.