Maleakhi 1:6-12 BMDC

6 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada para imam, “Seorang anak menghormati bapanya dan seorang hamba menghormati tuannya. Aku Bapa kamu, tetapi mengapa kamu tidak menghormati Aku? Aku tuan kamu, tetapi mengapa kamu tidak takut kepada-Ku? Kamu menghina Aku, tetapi kamu bertanya, ‘Dengan cara apakah kami menghina Engkau?’

7 Dengan cara ini: Kamu mempersembahkan makanan yang tidak layak dipersembahkan di atas mazbah-Ku. Kemudian kamu bertanya, ‘Dengan cara apakah kami tidak menghormati Engkau?’ Biarlah Aku jelaskan: Kamu menghina mazbah-Ku.

8 Apabila kamu mempersembahkan binatang yang buta, yang sakit, atau yang tempang sebagai korban untuk Aku, bukankah hal itu perbuatan yang salah? Cubalah berikan binatang seperti itu kepada gabenor! Adakah dia akan suka kepada kamu, dan memperlakukan kamu dengan baik?”

9 Sekarang, hai para imam, cubalah mohon agar Allah mengasihani kita. Dia tidak akan menjawab doa kamu, dan hal itu salah kamu sendiri.

10 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Lebih baik seorang antara kamu menutup pintu Rumah-Ku, kerana sia-sia saja kamu menyalakan api di atas mazbah-Ku. Aku tidak berkenan kepada kamu dan tidak mahu menerima persembahan kamu.

11 Aku dihormati oleh bangsa-bangsa di seluruh dunia. Mereka membakar kemenyan di merata tempat untuk menghormati Aku, dan mereka mempersembahkan korban yang layak dipersembahkan. Mereka semua menghormati Aku!

12 Tetapi kamu menghina Aku kerana berkata bahawa mazbah-Ku tidak berguna, dan kamu mempersembahkan makanan yang tidak kamu sukai di atas mazbah itu.