6 Apakah yang harus aku persembahkan kepada TUHAN, Allah di syurga, apabila aku datang menyembah Dia? Haruskah aku membawa anak lembu yang terbaik dan membakarnya sebagai korban untuk-Nya?
7 Adakah TUHAN berkenan jika aku mempersembahkan beribu-ribu ekor domba, atau minyak zaitun yang berlimpah-limpah kepada-Nya? Haruskah aku mempersembahkan anak sulungku kepada-Nya kerana dosaku?
8 Sekali-kali tidak! TUHAN telah memberitahu kita apa yang baik. Perkara yang dituntut oleh TUHAN daripada kita adalah supaya kita berlaku adil, selalu mengamalkan kasih, dan dengan rendah hati hidup bersatu dengan Allah kita.
9 Bijaklah orang yang takut akan TUHAN. TUHAN berseru kepada penduduk kota, “Dengarlah, hai kamu yang berkumpul di kota.
10 Di rumah orang jahat terdapat harta yang diperoleh dengan tipu daya. Mereka menggunakan takaran palsu, suatu perbuatan yang Aku benci.
11 Bagaimana mungkin Aku dapat mengampuni orang yang menggunakan takaran dan timbangan palsu?
12 Orang kaya di kalangan kamu menindas orang miskin; kamu semua pendusta.