Rut 2:15-16-22 BMDC

15-16 Apabila dia pergi lagi untuk memungut barli, Boas berkata kepada para pekerjanya, “Biarlah dia memungut barli bahkan antara yang sudah diberkas. Jangan larang dia. Cabutlah beberapa batang barli dari berkas-berkas itu dan tinggalkanlah di sana supaya dapat dipungutnya.”

17 Rut memungut barli di ladang itu sehingga senja. Setelah dia mengirik barli itu, dia mendapati bahawa barli yang dikumpulkannya hampir sepuluh kilogram.

18 Dia membawa barli itu ke kota, lalu menunjukkan kepada ibu mentuanya berapa banyak barli yang telah dikumpulkannya. Dia juga memberi ibu mentuanya lebihan makanan yang disimpannya pada waktu makan.

19 Naomi bertanya kepadanya, “Di mana engkau mendapat semua ini? Di ladang siapa engkau bekerja? Semoga Allah memberkati orang yang berbuat baik kepadamu!”Rut menceritakan kepada Naomi bahawa dia telah bekerja di ladang seorang yang bernama Boas.

20 “Semoga TUHAN memberkati Boas!” kata Naomi kepada Rut. “TUHAN sentiasa menepati janji-Nya, baik kepada orang yang masih hidup mahupun kepada orang yang sudah meninggal.” Katanya lagi, “Orang itu saudara dekat kita. Dialah yang patut bertanggungjawab terhadap kita.”

21 Rut berkata, “Lagi pula, dia membenarkan saya memungut barli bersama-sama para pekerjanya sehingga mereka habis menuai seluruh ladang itu.”

22 Naomi berkata kepada Rut, “Memang, nak. Lebih baik engkau bekerja dengan para pekerja wanita di ladang Boas. Jika engkau bekerja di ladang orang lain, mungkin engkau akan diganggu oleh orang di sana.”