15 TUHAN berfirman, “Umat-Ku yang Kukasihi telah melakukan hal-hal yang jahat. Mereka tidak berhak berada di Rumah TUHAN. Mereka menyangka bahawa dengan membuat janji-janji, dan dengan mempersembahkan binatang, mereka dapat mencegah malapetaka. Adakah dengan perbuatan itu mereka dapat bergembira?
16 Aku pernah menamakan mereka pokok zaitun yang rimbun, penuh dengan buah yang baik. Tetapi sekarang, dengan suara gemuruh, Aku akan membakar daun-daunnya dan Aku mematahkan semua rantingnya.
17 Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah mendirikan Israel dan Yehuda. Tetapi sekarang, Aku mengancam untuk mendatangkan malapetaka kepada mereka. Mereka sendiri telah menyebabkan semua itu menimpa mereka, kerana mereka telah melakukan kejahatan. Mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan mempersembahkan korban kepada Baal.”
18 TUHAN memberitahu aku tentang komplot musuh-musuhku terhadap aku.
19 Aku seperti domba tanpa curiga yang dibawa ke tempat pembantaian. Aku tidak tahu bahawa akulah yang menjadi sasaran komplot mereka. Mereka berkata, “Marilah kita tebang pokok itu sementara pokok itu masih subur; marilah kita bunuh dia supaya namanya dilupakan orang.”
20 Kemudian aku berdoa, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Engkau hakim yang adil; Engkau menguji fikiran dan hati orang. Aku menyerahkan perkaraku ke dalam tangan-Mu; oleh itu biarlah aku menyaksikan pembalasan-Mu terhadap perbuatan semua orang itu.”
21 Penduduk Anatot ingin supaya aku mati. Mereka berkata, “Jika engkau terus mengisytiharkan perkhabaran TUHAN, kami akan membunuh engkau.”