1 TUHAN menyuruh aku pergi membeli sebuah kendi tembikar, serta mengajak beberapa orang pemimpin bangsa dan beberapa orang imam yang lebih tua,
2 untuk pergi bersama-sama ke Lembah Hinom melalui Pintu Gerbang Serpihan Tembikar. Aku mesti mengisytiharkan perkhabaran-Nya di tempat itu.
3 TUHAN menyuruh aku berkata begini, “Hai raja-raja Yehuda dan penduduk Yerusalem! Dengarlah apa yang hendak Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, firmankan kepada kamu. Aku akan mendatangkan malapetaka yang dahsyat ke tempat ini sehingga orang yang mendengarnya terpegun.
4 Aku akan melakukan hal itu kerana bangsa ini telah meninggalkan Aku. Mereka menajiskan tempat ini dengan mempersembahkan korban kepada dewa-dewa yang asing bagi mereka, nenek moyang mereka, dan raja-raja Yehuda. Mereka telah memenuhi tempat ini dengan darah orang yang tidak bersalah.
5 Mereka mendirikan mazbah bagi Baal supaya mereka dapat mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar. Tetapi Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan perkara itu, bahkan tidak pernah hal seperti itu timbul dalam fikiran-Ku.
6 Oleh sebab itu, akan tiba masanya tempat ini tidak lagi disebut Tofet atau Lembah Hinom, melainkan disebut Lembah Pembantaian.