28 Nabi yang bermimpi seharusnya berkata, ‘Itu hanya mimpi.’ Tetapi nabi yang menerima perkhabaran daripada-Ku haruslah menyampaikan perkhabaran itu dengan setia. Apalah jerami jika dibandingkan dengan gandum!
29 Firman-Ku bagaikan api, dan bagaikan tukul yang menghancurkan batu.
30 Aku melawan nabi-nabi yang menyampaikan perkhabaran daripada sesama mereka, lalu mengatakan bahawa perkhabaran itu daripada-Ku.
31 Aku juga melawan nabi-nabi yang menyampaikan kata-kata sendiri, lalu mengatakan bahawa kata-kata itu daripada-Ku.
32 Aku, TUHAN berfirman; dengarlah! Aku akan melawan nabi-nabi yang menyampaikan mimpi yang penuh dusta. Mereka menceritakan mimpi-mimpi itu lalu menyesatkan umat-Ku dengan dusta dan cakap besar mereka. Aku tidak mengutus atau memberikan arahan kepada nabi-nabi itu. Mereka sama sekali tidak berguna bagi umat-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
33 TUHAN berfirman, “Hai Yeremia, apabila salah seorang umat-Ku, atau seorang nabi atau seorang imam bertanya kepadamu, ‘Apa perkhabaran TUHAN?’ Engkau harus menjawab, ‘Engkaulah beban TUHAN, kerana itu engkau akan dibuang-Nya.’
34 Jika salah seorang umat-Ku atau seorang nabi atau seorang imam menyebut perkataan ‘beban TUHAN’, Aku akan menghukum dia dan keluarganya.