2 Bakul yang pertama berisi buah ara yang baik, seperti buah ara yang mula-mula masak, sedangkan bakul yang kedua berisi buah ara yang busuk, sehingga tidak dapat dimakan.
3 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, apakah yang engkau nampak?”Aku menjawab, “Aku nampak buah ara. Buah yang baik sangat baik, dan buah yang busuk sangat busuk sehingga tidak dapat dimakan.”
4 TUHAN berfirman lagi,
5 “Aku, TUHAN, Allah Israel menganggap orang yang telah diangkut ke Babilonia itu seperti buah ara yang baik ini, dan Aku akan memperlakukan mereka dengan baik.
6 Aku akan menjaga mereka dan membawa mereka kembali ke negeri ini. Aku akan membina mereka, dan tidak meruntuhkan mereka; Aku akan menegakkan mereka, dan tidak mencabut mereka.
7 Aku akan memberikan kemahuan kepada mereka untuk memahami bahawa Akulah TUHAN. Dengan demikian mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka, kerana mereka akan kembali kepada-Ku dengan sepenuh hati.
8 Tetapi Aku, TUHAN akan memperlakukan orang berikut seperti buah ara yang busuk, yang tidak dapat dimakan: Raja Zedekia dari Yehuda, dan para pegawainya, serta penduduk Yerusalem yang lain, yang tetap tinggal di negeri ini atau yang telah berpindah ke Mesir.