1 Pada tahun keempat selepas Yoyakim putera Raja Yosia menjadi raja Yehuda, aku mendapat perkhabaran daripada TUHAN tentang semua penduduk Yehuda. (Hal ini berlaku pada tahun pertama pemerintahan Raja Nebukadnezar di Babilonia.)
2 Aku berkata kepada semua penduduk Yehuda dan Yerusalem,
3 “Selama dua puluh tiga tahun, sejak tahun ketiga belas Raja Yosia putera Raja Amon memerintah di Yehuda sampai hari ini, TUHAN telah berfirman kepadaku dan aku tidak pernah lalai menyampaikan apa yang telah difirmankan-Nya kepada kamu. Tetapi kamu tidak pernah memperhatikannya.
4 TUHAN terus-menerus mengutus para nabi, iaitu hamba-hamba-Nya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu mendengarkan dan memperhatikan mereka.
5 Mereka menyuruh kamu meninggalkan cara hidup yang jahat dan perbuatan yang berdosa, supaya kamu akan tetap tinggal di negeri yang telah diberikan oleh TUHAN kepada kamu dan kepada nenek moyang kamu sebagai milik pusaka.
6 Nabi-nabi itu melarang kamu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Mereka juga melarang kamu memuja berhala-berhala buatan kamu sendiri, kerana hal itu membangkitkan kemurkaan TUHAN. Jika kamu mentaati perintah TUHAN itu, Dia tidak akan menghukum kamu.
7 Tetapi TUHAN sendiri berfirman bahawa kamu tidak mahu mendengarkan Dia. Malah kamu membangkitkan kemurkaan-Nya dengan berhala-berhala kamu. Kamu sendiri telah mendatangkan hukuman-Nya atas kamu.