9 ‘Aku akan memanggil semua bangsa dari utara, dan juga hamba-Ku, Raja Nebukadnezar dari Babilonia. Aku akan mengerahkan mereka supaya memerangi Yehuda dan penduduknya serta memerangi semua bangsa di sekitarnya. Aku akan membinasakan penduduk Yehuda bersama dengan bangsa-bangsa di sekitarnya, dan membiarkan mereka hancur selama-lamanya. Sesiapa yang nampak mereka akan terkejut dan berasa ngeri. Aku, TUHAN, telah berfirman.
10 Aku akan menghentikan sorak kegembiraan dan pesta perkahwinan mereka. Mereka tidak akan mempunyai minyak untuk pelita, dan gandum mereka akan habis.
11 Aku akan membiarkan seluruh negeri ini hancur dan menjadi tempat yang menggerunkan. Bangsa-bangsa di sekitarnya akan mengabdi kepada raja Babilonia selama tujuh puluh tahun.
12 Selepas itu Aku akan menghukum orang Babilonia dan raja mereka kerana dosa mereka. Aku akan memusnahkan negeri Babilonia dan membiarkannya menjadi runtuhan selama-lamanya.
13 Aku akan menghukum Babilonia dengan semua bencana yang telah Aku rancang untuk ditimpakan kepada bangsa-bangsa ketika Aku berfirman melalui Yeremia, iaitu semua bencana yang dicatat di dalam kitab ini.
14 Aku akan membalas perbuatan orang Babilonia; mereka akan diperhamba oleh raja-raja besar dan oleh banyak bangsa.’ ”
15 TUHAN, Allah Israel berfirman kepadaku, “Inilah cawan wain yang telah diisi dengan kemurkaan-Ku. Bawalah cawan ini kepada semua bangsa, dan suruhlah mereka minum dari cawan ini. Aku mengutus engkau kepada mereka.