5 “Dengan kuasa-Ku yang besar dan dengan kekuatan-Ku, Aku telah menciptakan dunia, manusia, dan semua binatang di bumi; Aku dapat memberikan semua itu kepada sesiapa sahaja yang Aku kehendaki.
6 Akulah yang telah menyerahkan semua bangsa ini ke bawah kekuasaan hamba-Ku, Nebukadnezar, raja Babilonia. Bahkan binatang liar pun telah Kuserah kepadanya untuk dikuasai.
7 Semua bangsa akan mengabdi kepada Raja Nebukadnezar, putera, dan cucunya sampai masa negerinya sendiri jatuh. Pada masa itu bangsa Babilonia akan mengabdi kepada bangsa-bangsa yang kuat dan raja-raja yang besar.
8 Tetapi bangsa atau kerajaan yang tidak mahu takluk kepada Nebukadnezar akan Kuhukum dengan peperangan, kebuluran, dan wabak sehingga Kubiarkan Nebukadnezar memusnahkan mereka sama sekali.
9 Jangan dengarkan nabi-nabi kamu atau sesiapa pun juga yang melarang kamu takluk kepada raja Babilonia, walaupun mereka mengaku dapat meramalkan masa depan, sama ada melalui mimpi, atau dengan memanggil roh orang mati, atau dengan ilmu sihir.
10 Mereka menipu kamu sehingga kamu dibawa jauh dari negeri kamu. Aku akan mengusir kamu, dan kamu akan binasa.
11 Tetapi bangsa yang mahu takluk dan mahu mengabdi kepada raja Babilonia akan Kubiar tinggal di tanah air mereka untuk bercucuk tanam di situ. Aku, TUHAN, telah berfirman.”