9 Jangan dengarkan nabi-nabi kamu atau sesiapa pun juga yang melarang kamu takluk kepada raja Babilonia, walaupun mereka mengaku dapat meramalkan masa depan, sama ada melalui mimpi, atau dengan memanggil roh orang mati, atau dengan ilmu sihir.
10 Mereka menipu kamu sehingga kamu dibawa jauh dari negeri kamu. Aku akan mengusir kamu, dan kamu akan binasa.
11 Tetapi bangsa yang mahu takluk dan mahu mengabdi kepada raja Babilonia akan Kubiar tinggal di tanah air mereka untuk bercucuk tanam di situ. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
12 Aku menyampaikan hal yang sama kepada Raja Zedekia dari Yehuda. Aku berkata, “Hendaklah tuanku menyerah diri kepada raja Babilonia. Berkhidmatlah kepadanya dan kepada rakyatnya, supaya tuanku selamat.
13 TUHAN telah berfirman bahawa bangsa yang tidak takluk kepada raja Babilonia akan mati kerana peperangan atau kebuluran atau wabak. Mengapakah tuanku dan rakyat mahu mati dengan cara demikian?
14 Jangan dengarkan nabi-nabi yang melarang tuanku takluk kepada raja Babilonia. Mereka menipu tuanku.
15 TUHAN sendiri berfirman bahawa Dia tidak mengutus mereka, dan mereka berdusta kepada tuanku demi nama-Nya. Oleh itu Dia akan mengusir dan membinasakan tuanku bersama dengan nabi-nabi yang telah berdusta kepada tuanku.”