2 Aku menulis surat itu setelah Raja Yoyakhin, bonda baginda, para pegawai istana, para pemimpin orang Yehuda dan Yerusalem, para tukang, dan pekerja mahir dibawa ke pembuangan.
3 Aku memberikan surat itu kepada Elasa anak Safan dan Gemarya anak Hilkia, yang diutus oleh Raja Zedekia dari Yehuda, kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia. Surat itu berbunyi,
4 “Demikianlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, kepada semua orang yang telah dibiarkan-Nya ditawan oleh Raja Nebukadnezar, lalu dibawa dari Yerusalem ke Babilonia:
5 ‘Menetaplah di situ. Dirikanlah rumah kamu. Bukalah ladang dan nikmatilah hasilnya.
6 Berkahwinlah supaya kamu mendapat anak, dan biarlah anak kamu juga berkahwin supaya mereka pun mendapat anak. Jumlah kamu mesti bertambah dan tidak boleh berkurang.
7 Bekerjalah untuk kemakmuran kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada-Ku untuk kepentingan kota itu, kerana jika kota itu makmur, kamu pun akan makmur.
8 Aku TUHAN, Allah Israel, memberikan amaran kepada kamu supaya tidak membiarkan diri ditipu oleh nabi-nabi yang tinggal di tengah-tengah kamu atau oleh sesiapa pun yang berkata bahawa mereka dapat meramalkan masa depan. Jangan pedulikan mimpi mereka.