Yeremia 29:21-28 BMDC

21 TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, telah berfirman tentang Ahab anak Kolaya, dan tentang Zedekia anak Maaseya, yang menggunakan nama TUHAN untuk menyampaikan dusta kepada kamu. TUHAN berfirman bahawa Dia akan menyerahkan mereka kepada kekuasaan Raja Nebukadnezar dari Babilonia, yang akan membunuh mereka di hadapan kamu.

22 Apabila orang yang telah dibawa dari Yerusalem ke Babilonia, hendak mengutuk seseorang, mereka akan berkata, ‘Semoga TUHAN memperlakukan engkau seperti Zedekia dan Ahab, yang telah dibakar hidup-hidup oleh raja Babilonia.’

23 Begitulah kesudahan mereka kerana mereka melakukan dosa-dosa besar di Israel: mereka berzina, dan menggunakan nama TUHAN untuk berdusta. Perbuatan itu bertentangan dengan kehendak TUHAN. Dia tahu apa yang dilakukan mereka, dan Dia sendiri menjadi saksi yang melawan mereka. TUHAN telah berfirman.”

24-25 TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel memberikan perkhabaran kepadaku untuk Semaya, orang Nehelam, kerana Semaya telah mengirim surat dengan menggunakan namanya sendiri kepada semua penduduk Yerusalem, kepada Imam Zefanya anak Maaseya dan kepada semua imam yang lain. Surat yang ditulis oleh Semaya kepada Zefanya berbunyi demikian,

26 “TUHAN telah melantik engkau menjadi imam untuk menggantikan Yoyada, dan sekarang engkaulah pegawai tertinggi di Rumah TUHAN. Engkau bertanggungjawab untuk memastikan supaya setiap orang gila yang mengaku dirinya nabi, dibelenggu dengan rantai besi pada lehernya.

27 Mengapa engkau tidak bertindak terhadap Yeremia orang Anatot itu, yang telah berlaku sebagai nabi di kalangan bangsa kita?

28 Dia telah memberitahu orang kita di Babilonia bahawa mereka masih lama tinggal di sana sebagai orang tawanan; lalu mereka harus mendirikan rumah, menetap di sana, membuka ladang, dan makan hasilnya.”